Menurut Majlis Perbandaran Kajang, bangunan itu dibina secara haram di atas tanah rizab kerajaan, manakala sebahagian lagi di atas dua lot tanah persendirian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Sebuah bangunan empat tingkat yang dijadikan petempatan untuk komuniti warga asing di Hulu Langat sedang dalam proses dirobohkan oleh pemilik tanah.
Memetik wakil penduduk Kampung Sungai Makau, Berita Harian melaporkan, kerja-kerja perobohan bermula pagi ini dan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.
Jurucakap itu berkata, kos perobohan ditanggung sepenuhnya oleh pemilik tanah, yang sebelum ini membenarkan sekumpulan kecil komuniti Rohingya untuk membina dan mendiami petempatan tersebut.
Tapak yang turut berfungsi sebagai pusat perniagaan kecil bagi komuniti itu dilaporkan telah dikosongkan oleh penghuni terdahulu kira-kira tiga hari lepas.
Awal minggu ini, Majlis Perbandaran Kajang menyatakan bahawa bangunan itu dibina secara haram di atas tanah rizab kerajaan, manakala sebahagian lagi di atas dua lot tanah persendirian.
Pihaknya juga memaklumkan, tiada kebenaran merancang dimohon untuk bangunan tersebut, dan tiada sebarang pelan infrastruktur atau bangunan dikemukakan bagi sebarang pembangunan di kawasan itu.


