Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata pendirian parti berkenaan Najib Razak tidak berubah.
MUAR: Pendirian DAP berkenaan isu bekas perdana menteri, Najib Razak, adalah jelas dan tidak berubah, tegas Setiausaha Agung Loke Siew Fook.
Ditemui pemberita selepas ceramah Pakatan Harapan sempena PRN Johor di Bakri, Loke menegaskan pendirian DAP bahawa hukuman setimpal yang dijatuhkan mahkamah ke atas bekas presiden Umno itu sepatutnya diteruskan.
“Kita konsisten dalam perkara itu bahawa satu skandal yang besar berlaku dan hukuman penjara telah pun dijatuhkan maka keputusan mahkamah perlu dipatuhi dan perlu dihormati oleh semua pihak,” katanya.
Semalam, Malaysia Gazette melaporkan bekas Adun Skudai, Marina Ibrahim, berkata beliau hilang kepercayaan terhadap politik susulan perbualan dengan seorang pemimpin DAP, yang menurutnya menyentuh soal kemungkinan pengampunan Najib serta implikasinya terhadap sokongan pengundi.
Loke hari ini bagaimanapun berkata seseorang individu membuat bermacam-macam tuduhan apabila keluar parti adalah ‘perkara biasa’ dan ‘lumrah politik’.
“Kalau individu tersebut dia masih menjadi calon, dia tak akan cakap begitu. Jadi perkara biasa lah. Kita dah nampak, dah tengok banyak dah rupanya,” katanya.
“Tetapi bagi kita pendirian parti jelas dan perjuangan parti ini bukan berkenaan dengan individu. Jadi kita ‘move on’ saja,” katanya.
Pada 26 Dis tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun, dan denda RM11.387 bilion, ke atas Najib susulan sabitan dalam kes 1MDB.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan tempoh pemenjaraan Najib bermula pada 2028, selepas bekas presiden Umno itu selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International.
Mahkamah mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.
Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan salah guna kuasa, dengan hukuman-hukuman tersebut diperintah berjalan secara serentak.
Sementara itu, bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Sequerah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan ke atas Najib, dan memerintahkan beliau membayar balik sejumlah RM2.08 bilion.
Sekiranya Najib gagal melunaskan jumlah tersebut, beliau akan menjalani tambahan hukuman penjara selama 270 bulan, kata hakim.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara lima tahun itu berjalan secara serentak dengan hukuman bagi salah guna kuasa. Hukuman bagi pengubahan wang haram juga akan bermula selepas 2028.

