Setiap Luak melantik dan melucutkan Undangnya sendiri menurut Adat Perpatih. Yang di-Pertuan Besar tidak campur tangan dalam urusan pelantikan mahupun pelucutanSetiap Luak melantik dan melucutkan Undangnya sendiri menurut Adat Perpatih. Yang di-Pertuan Besar tidak campur tangan dalam urusan pelantikan mahupun pelucutan

Bagaimana seorang Undang Negeri Sembilan dilantik dan dilucutkan?

For feedback or concerns regarding this content, please contact us at crypto.news@mexc.com

Isu Undang sedang hangat diperkatakan. Namun tidak ramai yang benar-benar tahu bagaimana seorang Undang dilantik, apatah lagi bagaimana seorang Undang boleh dilucutkan. Jawapannya mungkin mengejutkan sesetengah pembaca, kerana kuasa itu bukan bermula di istana.

Ia bermula dari akar — dari Luak. Hanya setelah Luak mencapai keputusannya, barulah keputusan itu dijunjung ke hadapan Yang di-Pertuan Besar untuk diperkenankan pada waktu yang ditetapkan.

Bak kata pepatah, “Tumbuh ko ateh, monitik ko bawah”. Berikut adalah prosesnya, langkah demi langkah.

Langkah 1: Bermula daripada ibu

Negeri Sembilan bersandarkan sebuah sistem matrilineal berusia ratusan tahun yang dikenali sebagai Adat Perpatih, diperkenalkan dari pedalaman Minangkabau di Sumatera Barat.

Keturunan, harta pusaka dan jati diri seseorang diwarisi melalui sebelah ibu. Setiap bayi dilahirkan ke dalam suku ibunya, bukan bapanya.

Terdapat dua belas suku tonggak masyarakat yang menjadi sandaran kepada setiap jawatan adat. Tanah dan rumah pusaka terletak pada nasab wanita, dan di tengah-tengahnya berdiri Ibu Soko — matriark kanan yang menjadi tiang seri kepada susunan adat.

Langkah 2: Keluarga memilih buapak

Setiap Perut, atau cabang keluarga, memilih seorang Buapak (ketua bagi sesuatu Perut) — seorang yang diutarakan, sekaligus menjadi jurucakap. Beliau dipilih dari bawah oleh ahli-ahli keluarga itu sendiri, dan diuji oleh anak buahnya terlebih dahulu sebelum diangkat.

Langkah 3: Buapak memilih Lembaga

Setelah setiap Perut mempunyai Buapaknya, para Buapak pula berhimpun memilih seorang Lembaga — ketua bagi keseluruhan suku. Dalam kebanyakan urusan adat, jawatan ini terikat kepada cabang-cabang waris yang diiktiraf dalam suku itu, jadi pemilihannya bukanlah pelantikan terbuka kepada orang ramai.

Langkah 4: Hanya satu suku boleh mewujudkan undang

Jawatan Undang tidak terbuka kepada semua suku. Ia terhad kepada waris Biduanda yang diiktiraf dalam setiap Luak. Kelayakan ditentukan oleh keturunan — hanya lelaki yang lahir daripada waris yang boleh dipertimbangkan.

Langkah 5: Lembaga memilih Undang secara muafakat

Perkara 14(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memperuntukkan bahawa Undang bagi Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau hendaklah orang yang dipilih dengan sah menurut adat Luak masing-masing.

Maksudnya, badan-badan adat Luak yang diiktiraf — termasuk Buapak, Ibu Soko, waris dan Lembaga yang berkaitan — mencapai keputusan menurut adat Luak itu sendiri.

Pemilihan dibuat secara muafakat, dan perbincangan diteruskan sehingga tercapai kebulatan. Yang amat penting: keputusan itu dibuat di dalam Luak, oleh badan-badan Luak itu sendiri.

Langkah 6: Gelaran berpindah melalui nasab perempuan

Apabila seorang Undang mangkat atau meletakkan jawatan, anak kandungnya lazimnya tidak mewarisi takhta itu, kerana mereka tergolong dalam suku ibu mereka, bukan suku bapa. Pewaris selalunya dicari dalam kalangan anak kepada saudara perempuannya, atau kaum kerabat lelaki lain dalam nasab yang sama.

Setiap Luak mengambil Undangnya daripada beberapa rumah waris tertentu. Di Sungai Ujong, jawatan berselang-seli antara waris Klana di-Hulu dan waris Klana di-Hilir, dengan penyandangnya bergelar Dato’ Klana Petra. Di Rembau pula, ia berselang-seli antara Waris Jakun dan Waris Jawa, dengan gelaran masing-masing Dato’ Lela Maharaja dan Dato’ Sedia Raja.

Langkah 7: Luak menjunjung calonnya ke hadapan Tuanku

Hanya pada peringkat inilah istana mula masuk ke dalam proses — di penghujungnya dan bukan di permulaannya.

Setelah Luak memuktamadkan pemilihan, wakil-wakil Luak membawa keputusan itu ke Seri Menanti untuk mengadap Yang di-Pertuan Besar — menjunjung duli dan memohon perkenan bagi menetapkan tarikh istiadat pengiktirafan secara adat.

Tuanku mengurniakan perkenan dan mengiktiraf apa yang telah diputuskan di peringkat Luak. Langkah perkenan dan pengiktirafan ini lah yang sering disalahertikan oleh masyarakat umum, malah oleh media sekalipun — sebagai campur tangan Tuanku dalam hal ehwal Luak!

Setibanya rombongan Luak (pada tarikh yang telah diperkenankan Tuanku, setelah dimohon oleh pembesar Luak), Tuanku menerima, memperkenan, dan setelah menyaksikan sumpah taat setia dari bakal Undang, Tuanku bertitah menzahirkan kejadian seseorang Undang.

Proses ini diamalkan sejak turun temurun kerana Yang di-Pertuan Besar adalah pemegang amanah adat dan pengurnia perkenan, memeterai keputusan yang telah dibuat oleh Luak itu sendiri — bukan pembuat keputusan, sama ada memilih atau melantik seorang Undang!

Langkah 8: Lembaga yang sama boleh melucutkan Undang

Pelucutan menyusur jalan yang sama dengan pelantikan, cuma dalam arah yang berlawanan.

Badan yang mengangkat seorang Undang ialah badan yang boleh menurunkannya semula. Perkara 14(3) mengiktiraf bahawa seorang Undang boleh terlucut atau dilucutkan jawatannya menurut adat Luaknya.

Mekanismenya terletak pada Lembaga dan kepimpinan adat Luak, yang bertindak menerusi proses adat mereka sendiri. Dengan ini, baik pengangkatan mahupun pelucutan seorang ketua, kedua-duanya kekal dalam Luak yang dikhidmatinya.

Langkah 9: Dewan Keadilan dan Undang mengiktiraf — dan nasihatnya muktamad

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) berdiri di atas proses ini untuk menasihat dan mengiktiraf.

Perkara 16(1) menubuhkannya bagi memberi nasihat tentang hal-hal adat Melayu di mana-mana bahagian negeri, termasuk pemilihan, penggantian, pelucutan atau kekosongan jawatan seorang ketua adat. Perkara 16(3) pula memperuntukkan bahawa nasihatnya dalam hal-hal sedemikian adalah muktamad, serta tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun.

DKU mengiktiraf apa yang telah diputuskan oleh Luak; manakala perbuatan memilih atau melucutkan ketua itu tetap kekal sebagai hak Luak itu sendiri.

Adakah Yang di-Pertuan Besar melantik atau melucutkan Undang? Tidak!

Di situlah terletaknya inti pati seluruh adat perpatih. Pelantikan dan pelucutan seorang Undang kedua-duanya milik mutlak Luak, yang bertindak menerusi badan-badannya sendiri: Lembaganya, Warisnya, dan di akarnya, Ibu Soko, semuanya bergerak menurut proses adat yang telah ditetapkan.

Seorang ketua dijadikan di dalam Luaknya sendiri, oleh badan-badan Luak itu jua, dan badan yang sama itulah yang boleh menanggalkannya semula. Di sini, kesahihan ialah sesuatu yang diberikan oleh akar masyarakat ke atas — bukan dihulurkan dari atas ke bawah.

Peranan Yang di-Pertuan Besar terletak pada titik perkenan. Setelah Luak mencapai keputusannya, wakil-wakilnya datang mengadap untuk memohon perkenan; dan tugas baginda ialah menerima mereka, memperkenan pada waktu yang sesuai, serta mengiktiraf pilihan yang dijunjungkan oleh Luak ke hadapan baginda.

Tuanku ialah pemegang amanah adat dan pengurnia perkenan, bukan pengarang keputusan itu — dan inisiatif kekal di tangan Luak dari mula hingga akhir. Arahnya naik dari Luak ke istana, bukan sebaliknya.

Adat yang sama yang memberikan istana peranan memperkenan, jugalah yang menetapkan batas peranan itu — kerana kuasa memperkenan bukanlah kuasa memilih.

Perkenan Tuanku mengiktiraf apa yang benar-benar telah diputuskan oleh Luak; ia tidak membawa kuasa untuk mengatasi Luak yang masih berfungsi, atau untuk menentukan sesuatu keputusan yang tidak dicapai oleh badan-badan Luak itu sendiri. Batas inilah yang menjadi benteng pelindung, dan itulah sebabnya Yang di-Pertuan Besar menerima dan mengiktiraf, bukan memilih dan melantik.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

World Cup Combo: Aim for 200x

World Cup Combo: Aim for 200xWorld Cup Combo: Aim for 200x

Combine up to 20 World Cup matches in one order

Disclaimer: The articles reposted on this site are sourced from public platforms and are provided for informational purposes only. They do not necessarily reflect the views of MEXC. All rights remain with the original authors. If you believe any content infringes on third-party rights, please contact crypto.news@mexc.com for removal. MEXC makes no guarantees regarding the accuracy, completeness, or timeliness of the content and is not responsible for any actions taken based on the information provided. The content does not constitute financial, legal, or other professional advice, nor should it be considered a recommendation or endorsement by MEXC.