C Subramani (kiri) diiringi oleh R Yuneswaran (tengah) pada proses penamaan calon DUN Bukit Kepong.
PAGOH: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Bukit Kepong, C Subramani, yakin mampu mencipta kejutan dengan merampas kerusi itu daripada Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor.
Subramani berkata keyakinan itu bersandarkan rekod perkhidmatannya sebagai ketua cabang PKR Pagoh selama tiga penggal, selain hubungan rapat dengan penduduk setempat.
Menurut, gerak kerja di peringkat akar umbi selama sembilan tahun boleh mengimbangi kekuatan penyandang kerusi itu, Dr Sahruddin Jamal daripada PN yang juga bekas menteri besar Johor.
“Dia ada kekuatan, saya pun ada kekuatan,” katanya ditemui selepas proses penamaan calon di Kompleks Sukan Pagoh.
Subramani berkata jika diberi mandat, beliau mahu memberi tumpuan kepada isu asas penduduk, termasuk lampu jalan, pembangunan pusat pelancongan, peluang pekerjaan dan perumahan mampu milik.
Katanya, ramai anak muda terpaksa berhijrah ke Singapura atau Kuala Lumpur kerana kekurangan peluang pekerjaan di kawasan itu.
“Kawasan gelap, ada tempat langsung tiada lampu. Peluang pekerjaan pun kurang kerana tiada perindustrian. Rumah mampu milik juga hampir tiada,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran berkata PH mempunyai peluang di Bukit Kepong kerana sentimen pengundi kali ini berbeza berbanding PRN lalu.
Menurutnya, majoriti kemenangan PN sebelum ini juga tidak besar, sekali gus membuka ruang kepada PH untuk memberi saingan sengit.
“Beliau menang hanya dengan kira-kira 700 undi. Kali ini sentimen pengundi berbeza, dan kita lihat lebih 37% pengundi di sini bukan Melayu,” katanya.
Yuneswaran berkata antara isu utama yang perlu diberi perhatian di Bukit Kepong ialah peluang pekerjaan, pembangunan industri, infrastruktur dan tebatan banjir.
Beliau berkata kerajaan persekutuan di bawah Anwar Ibrahim sudah meluluskan beberapa projek besar termasuk ETS, RTS, landasan berkembar serta projek tebatan banjir.
“Pagoh antara kawasan kerap dilanda banjir dan projek tebatan banjir Sungai Muar dalam proses pembinaan serta penambahbaikan,” katanya.


