Tangkap layar laman web Kementerian Kesihatan yang digodam awal pagi tadi.
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan laman webnya digodam dan siasatan terperinci sedang dijalankan.
“Tindakan pemulihan semula sistem sedang dilaksanakan bagi memastikan portal rasmi kementerian dapat beroperasi semula secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, ia sedang bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk memperkukuhkan aspek keselamatan sistemnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Orang ramai dinasihat mendapatkan maklumat rasmi daripada saluran media sosial KKM dan platform komunikasi lain sepanjang tempoh gangguan ini.”
Terdahulu, seorang pengguna media sosial mendakwa laman web KKM digodam sejak awal pagi tadi, dengan memuat naik tangkap layar halaman utama laman web itu.


