Wee Ka Siong menerima memorandum dan berjanji untuk membawa isu DAK ke Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR: Presiden MCA Wee Ka Siong hari ini berjanji membantu membawa isu kebajikan tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Dewan Rakyat.
“Saya berjanji membantu perkara ini dibawa ke Parlimen,” kata yang juga wakil rakyat Ayer Hitam ketika menerima memorandum daripada aktivis, Neow Choo Seong di pekarangan bangunan Parlimen.
Memorandum itu diserahkan bagi mendesak kerajaan campur tangan membawa pulang DAK yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun, susulan dakwaan pelbagai pihak mengenai isu kebajikan yang dihadapi tiga gajah berkenaan.
Sejak beberapa bulan lalu, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan rakyat Malaysia menggesa DAK dibawa pulang dengan alasan kebajikan haiwan terbabit dikhuatiri tidak terjamin di zoo tersebut.
Atas dasar tanggungjawab, Neow yang juga ketua penerangan Pemuda MCA, memulakan larian solo sejauh hampir 300 kilometer dari Taiping, Perak pada 17 Jun sebelum menamatkannya di Parlimen hari ini.
Walaupun mengalami kecederaan pada lutut kanan sehingga terpaksa menerima dua suntikan penahan sakit sepanjang perjalanan, beliau tetap meneruskan larian bagi memastikan memorandum itu dapat diserahkan kepada wakil rakyat.
Stesen Radio Hot FM turut memberi sokongan atas usaha kecil Neow untuk membawa pulang DAK.
“Kita mahukan suara ini bukan sahaja berada di luar, tetapi juga di dalam bangunan Dewan Rakyat.
“Dara, Amoi dan Kelat bukan sekadar haiwan liar, tetapi mereka sebahagian daripada ekosistem negara kita,” katanya.
FMT sebelum ini melaporkan Neow cuba menyerahkan memorandum sama kepada pihak Zoo Taiping, namun ia tidak diterima, memaksa pencinta gajah itu memulakan misi larian solo.
Beliau turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan orang ramai sepanjang misi itu.
“Ramai tampil berlari bersama di beberapa lokasi persinggahan, sekali gus membakar semangat untuk menamatkan cabaran,” katanya.


