Bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua memberi keterangan kepada polis pada 21 Mei lalu untuk membantu siasatan mereka.
PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua masih disiasat polis berhubung catatan Facebooknya pada bulan lalu yang menyentuh sistem raja berperlembagaan dan Rukun Negara.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kertas siasatan itu dirujuk ke Jabatan Peguam Negara 25 Mei lalu, sebelum dikembalikan kepada polis.
“Siasatan masih diteruskan pihak polis bagi melengkapkan kertas siasatan tersebut sebelum keputusan muktamad (mengenai kes itu) diambil,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Beliau berkata, 140 laporan polis dibuat terhadap Pua setakat 10 Jun lalu, dengan siasatan dijalankan atas kesalahan penggunaan kemudahan rangkaian tidak wajar dan membuat kenyataan didakwa membawa kepada kerosakan awam.
Saifuddin berkata demikian selepas Lim Lip Eng (PH-Kepong) meminta maklumat terkini berhubung kes itu.
Pua dalam catatannya berkata, kuasa raja terhad kepada aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berperlembagaan seperti pelantikan menteri besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu juga berkata, rakyat Malaysia tidak “hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan kita”.
Beliau memberi keterangan kepada polis pada 21 Mei lalu untuk membantu siasatan mereka.


