Stuart MacDonald kata sistem lebih baik akan membolehkan negeri-negeri mendapat manfaat secara lebih langsung daripada sumbangan masing-masing kepada pertumbuhan ekonomi.
GEORGE TOWN: Negeri-negeri yang membangunkan ekonomi masing-masing, menarik pelaburan dan menjana lebih banyak hasil sepatutnya menerima lebih banyak peruntukan persekutuan, menurut pengarah teknikal sebuah badan transformasi bandar, Think City.
Sempena forum mengenai hubungan persekutuan-negeri di Penang Institute, Stuart MacDonald berkata Malaysia patut mengurangkan kebergantungan negeri-negeri kepada keputusan yang dibuat secara tahunan atau tawar-menawar politik untuk mendapatkan peruntukan persekutuan.
Menurutnya, negeri-negeri memerlukan insentif lebih besar untuk memperluaskan ekonomi masing-masing, apabila kebanyakan hasil cukai disalurkan kepada kerajaan persekutuan dalam sistem sedia ada.
Beliau berkata sistem yang lebih baik akan membolehkan negeri-negeri mendapat manfaat secara lebih langsung daripada sumbangan masing-masing kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Dengan itu, akan muncul insentif untuk membangunkan ekonomi, dan semua pihak akan mendapat keuntungan,” katanya.
MacDonald berkata Malaysia boleh belajar daripada Mexico, Brazil dan India yang berusaha memberikan peranan fiskal yang lebih besar kepada negeri-negeri selepas bertahun-tahun bawah kawalan pusat yang kuat.
Katanya, beberapa negara memberi ganjaran kepada negeri-negeri yang menambah baik kutipan cukai, menarik pelaburan dan memperluaskan aktiviti ekonomi tempatan.
MacDonald berkata Malaysia sudah pun mempunyai mekanisme geran yang boleh diperkukuhkan untuk memberi ganjaran kepada negeri-negeri yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, seperti geran pertumbuhan hasil, yang bertujuan untuk memberi ganjaran kepada negeri-negeri apabila hasil persekutuan meningkat secara mendadak.
Bagaimanapun, geran tersebut dihadkan kepada RM250 juta sejak tahun 2007 dan jarang digunakan, menurutnya.
Beliau berkata sebahagian daripada geran tersebut diperuntukkan atas budi bicara kementerian, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kejelasan dan ketelusan sistem berkenaan.
Menurut MacDonald, Putrajaya mengekalkan sekitar 90-95% daripada hasil cukai negara, berkemungkinan tertinggi dalam kalangan negara persekutuan di dunia, namun angka tepat tidak jelas kerana data yang ada tidak cukup telus.
Beliau berkata keputusan persekutuan yang dibuat secara tahunan menyukarkan negeri-negeri untuk merancang masa depan, terutama bagi projek-projek pembangunan jangka panjang.
MacDonald menggesa Putrajaya bermula dengan reformasi mudah, seperti menjadikan proses Majlis Kewangan Negara lebih telus dan menerbitkan bagaimana keputusan mengenai geran persekutuan dibuat.
Beliau berkata negeri-negeri sepatutnya dibenarkan menjana lebih banyak hasil sendiri, termasuk melalui levi pelancongan, caj kesesakan, cukai hartanah kosong atau bank pembangunan negeri.
MacDonald menambah semua ini boleh dilakukan tanpa meminda Perlembagaan, dengan negeri-negeri mengadakan perjanjian bersama kementerian persekutuan untuk mengendalikan perkhidmatan tertentu di peringkat tempatan.


