Ismail Sabri Yaakob berkata anggapan bahawa pengundi bukan Melayu tidak akan mengundi Barisan Nasional sudah tidak lagi tepat.
LEDANG: Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pengundi bukan Melayu kini tidak lagi boleh dianggap sebagai ‘deposit tetap DAP’ dalam pilihan raya.
Melihat kepada semua calon DAP ditolak pengundi pada PRN Sabah lalu, pemimpin Umno ini percaya tidak mustahil keadaan sama boleh berlaku di Johor, kali ini, apabila menyaksikan sokongan yang diterima Barisan Nasional (BN) daripada pengundi bukan Melayu ketika ini
Katanya, anggapan bahawa pengundi bukan Melayu tidak akan mengundi BN sudah tidak lagi tepat.
“Kita selalu menganggap pengundi bukan Melayu ini tak bersama BN. Itu anggapan kita, tapi pilihan raya lepas di Sabah terutamanya, kebanyakan pengundi bukan Melayu mengundi calon selain DAP.
“Keputusan di Sabah jelas bukan Melayu bukan deposit tetap kepada DAP,” katanya kepada FMT ketika ditemui semasa membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Serom, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim.
Ismail menambah keputusan PRN Sabah menunjukkan pengundi bukan Melayu kini lebih terbuka untuk memilih mana-mana parti.
“Bukan Melayu bebas undi sesiapa sahaja dan tidak ada sebab untuk mereka tidak mengundi BN dalam pilihan raya kali ini,” katanya.
Ismail menggesa pengundi bukan Melayu menyokong BN kerana gabungan itu mempunyai peluang cerah untuk membentuk kerajaan negeri.
“Jadi jangan rugikan undi anda, undilah parti yang akan menang iaitu BN,” katanya.

